Home / Tokoh / Muhammad Basiuni Imran

Muhammad Basiuni Imran


Muhammad Jabir As-Sambasi Khatib Sidana Kerajaan Sambas Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah dalam kerajaan Melayu yang sedemikian banyak di dunia Melayu, hanya di kerajaan Sambas di Kalimantan petugas-petugas penting kerajaan yang menangani Islam digelar ‘Maharaja Imam’, ‘Imam Maharaja’, ‘Imam’, ‘Khatib Sidana’ dan ‘Khatib’.

Di antara istilah-istilah itu ada yang telah wujud sejak tahun 1186 H/1772 M. Jawatan Maharaja Imam Sambas berakhir pada tahun 1976 iaitu setelah wafat Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Ulama ini adalah anak saudara ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini. Diriwayatkan Imam Kerajaan Sambas yang pertama bernama Haji Mushthafa Nuruddin yang dilantik oleh Sultan Muhammad Ali Shafiyuddin (Pertama) pada tahun 1186 H/1772 M. Kira-kira 100 tahun kemudian, tepatnya pada 1289 H/1872 M barulah istilah ‘Maharaja Imam’ digunakan.

Maharaja Imam Kerajaan Sambas yang pertama ialah Maharaja Al-Imam Asy-Syeikh Muhammad Arif bin Nuruddin as-Sambasi yang dilantik oleh Sultan Muhammad Ali Shafiyuddin (Kedua). Sebelum itu, pada 1238 H/1823 M, beliau hanya digelar ‘Imam’. Disebabkan umurnya telah lanjut, beliau menyandang pangkat Maharaja Imam hanya setahun. Pada tahun 1290 H/1873 M, dilantik anak beliau bernama Syeikh Muhammad Imran bin Muhammad Arif as-Sambasi menggantikannya menjadi Maharaja Imam. Terakhir sekali dilantik pula cucu Maharaja Imam yang pertama pada 1331 H/1913 M iaitu ialah Syeikh Muhammad Basiyuni Imran bin Maharaja Asy-Syeikh Muhammad Imran. Serentak dengan perlantikan Syeikh Muhammad Arif bin Nuruddin as-Sambasi sebagai Maharaja Imam Sambas yang pertama pada tahun 1289 H/1872 M, pada waktu itulah dirasmikan pembangunan Masjid Jamik Sultan Sambas di persekitaran Istana Sultan Sambas di tepi sungai.

Beberapa tahun selanjutnya dirangka pula pusat pendidikan Islam yang dinamakan ‘Madrasah as-Sulthaniyah’ yang terletak di sebelah kiri istana pimpinan pendidikan tersebut yang diketuai Haji Ahmad Fauzi bin Syeikh Muhammad Imran. Beliau ini adalah adik-beradik Syeikh Muhammad Basiyuni Imran yang ketika perlantikan itu sedang belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir. Madrasah as-Sulthaniyah dibina bertujuan memberi pendidikan Islam secara mendalam sebagai pengkaderan golongan kerabat sultan, Maharaja Imam dan jalur-jalur yang berada di bawahnya.

Sejarah susunan pentadbiran pengurusan Islam dalam kerajaan Sambas banyak dapat kita ketahui boleh dikatakan dalam masa hidup beliau. Kebanyakan kedudukan penting dipegang oleh keluarga beliau. Ulama Sambas yang diriwayatkan ini nama lengkapnya ialah Khathib Haji Muhammad Jabir bin Haji Muhammad ‘Arif Maharaja Imam bin Imam Nuruddin bin Imam Mushthafa as-Sambasi. Susunan nama ini dipetik daripada buku Cahaya Suluh Pada Menyatakan Jumaat Kurang Daripada Empat Puluh oleh Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran, cetakan Mathba’ah Al-Ikhwan, Singapura, 1340 H. Kekeluargaan Lebih kurang 200 tahun lamanya jabatan tertinggi dan yang penting tentang Islam di Kerajaan Sambas dipegang oleh datuk nenek ulama ini hingga ke zaman beliau. Menjelang detik-detik akhir sebelum kemerdekaan Indonesia dan hapusnya Kerajaan Sambas, susunan pentadbiran Islam adalah ditangani oleh seorang ‘Maharaja Imam’ yang dilantik Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Beliau ini mendapat dua aliran pendidikan iaitu dalam pengajian Mekah dan berkelulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. Yang berpangkat ‘Maharaja Imam’ hanya seorang dan di atasnya ialah Sultan Sambas sendiri. Di bawah ‘Maharaja Imam’ dilantik pula orang yang dinamakan ‘Imam Maharaja’ yang terdiri daripada beberapa orang. Semuanya dalam lingkungan terdekat keluarga ini. Yang berpangkat Imam Maharaja ialah Haji Abdur Rahman Hamid. Beliau ini merupakan saudara sepupu dan ipar Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Haji Muhammad Jabir (ulama yang diriwayatkan ini) juga berpangkat Imam Maharaja sekali gus sebagai Imam Besar. Beliau ini adalah ayah saudara Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Keluarga rapat mereka pula ialah Haji Muhammad Mursal, Haji Muhammad, Haji Murtadha dan Haji Muhammad Shiddiq. Semua mereka memegang jabatan Khatib Sidana dan Khatib.

Selain memegang jabatan tinggi dan penting dalam Kerajaan Sambas, keturunan mereka memainkan peranan dalam memperjuangkan kemerdekaan Indonesia. Bahkan setelah Indonesia merdeka, keluarga ini masih mendapat tempat dalam masyarakat sama ada di Sambas sendiri mahupun hingga di Jakarta.

Tidak diketahui dari negeri mana mereka berasal. Apakah mereka juga berasal dari Brunei ataupun dari Banjar, ataupun dari Patani atau dari tempat-tempat lain. Walau bagaimanapun, pada tahun 1970, ketika saya menaiki sampan menyelusuri Sungai Sambas selama berjam-jam, seorang yang telah tua menceritakan kepada saya tentang ‘Keramat Lumbang’ (sebuah tempat yang terkenal di Sambas). Riwayat Menurut beliau, nama sebenar Keramat Lumbang itu ialah Syeikh Abdul Jalil al-Fathani.

Dari segi warna kulit dan perwatakan, banyak persamaan antara keluarga ulama Sambas dengan keluarga ulama Patani yang berasal dari Kerisik, Patani. Pendidikan awal dan asas Muhammad Jabir dipercayai daripada ayahnya sendiri, Maharaja Imam Haji Muhammad Arif. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan di Mekah bersama beberapa orang dalam keluarga ini termasuk beberapa orang Sambas lainnya. Antara guru mereka di Mekah ialah Syeikh Abu Bakri Syatha, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Muhammad Jabir dan kawan-kawannya yang berasal dari Sambas hanya mendapat pendidikan akhir di Mekah.

Setelah semua mereka pulang ke Sambas, Muhammad Basiuni Imran memperoleh kedudukan yang lebih tinggi walaupun beliau adalah anak saudara dan murid kepada Muhammad Jabir. Ada banyak faktor yang menyebabkan itu berlaku. Kecerdasan Ditinjau dari aspek pendidikan ketika itu, hanya Muhammad Basiyuni Imran seorang yang memperoleh dua sistem pendidikan, pendidikan di Mekah dan pendidikan di Mesir.

Ditinjau dari kecerdasan berfikir dan tangkas bergerak, Muhammad Basiyuni Imran menurut riwayat memang agak lebih daripada yang lainnya. Sungguhpun Khatib Haji Muhammad Jabir dan yang lain-lain masih tetap berpegang menurut aliran tradisional (Kaum Tua) sedangkan anak saudara dan murid beliau Syeikh Muhammad Basiyuni Imran adalah murid Saiyid Rasyid Ridha serta dianggap seorang ‘Kaum Muda’, namun di Sambas tidak pernah terjadi ketegangan debat ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ seperti yang terjadi di Minangkabau dan tempat-tempat lain. Menurut riwayat, sungguhpun Syeikh Muhammad Basiyuni Imran mempunyai kedudukan yang paling tinggi dengan pangkat Maharaja Imam Sambas, namun beliau sangat hormat dan menjaga supaya ayah saudaranya, Imam Haji Muhammad Jabir, tidak tersinggung atau kecil hati atas semua tindakan yang dijalankannya. Selain itu, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran juga sedar bahawa pengetahuan tradisional telah diperoleh lebih awal daripada pendidikan ‘tajdid’ atau pembaharuan.

Sungguhpun Syeikh Muhammad Basiyuni Imran seperti Syeikh Tahir Jalauddin mendapat pendidikan di Mesir, tetapi cara bergerak dan berfikir Syeikh Tahir Jalaluddin menyebarkan pembaharuan tidak ditiru oleh Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Nampaknya cara bijak yang digunakan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lebih diminati oleh beliau. Sungguhpun demikian Syeikh Muhammad Basiyuni Imran ada pula caranya tersendiri. Kebijaksanaannya tidak lepas daripada pengamatan ayah saudara beliau Imam Haji Muhammad Jabir. Beliau juga sangat berhati-hati supaya anak saudara beliau itu tetap ada keserasian dengan beliau. Jadi kedua-duanya sangat menjaga tidak memulakan sesuatu persoalan mengakibatkan pihak lain jadi tersinggung.

Bertemulah dua orang ulama yang bijak menghadapi pelbagai isu antara ayah saudara dengan anak saudara, walaupun dari satu segi ada kesefahaman, dari segi yang lain ada yang tidak disepakati. Akhirnya bertemu pada satu titik kedamaian bukan sebaliknya pada titik perdebatan atau pertengkaran atau perkelahian. Pada pandangan saya, cara itu ‘sungguh bijak’ dan ‘berakhlak mulia’. Ia sangat patut kita contohi dalam kita menghadapi kepelbagaian aliran pemikiran seperti pada zaman sekarang. Setakat ini hanya sebuah karya Khathib Haji Muhammad Jabir yang diberi judul Risalah al-Hajji ditemui. Penulisannya selesai pada 12 Rabiulawal 1331 H. Beliau menggunakan nama Khathib Muhammad Jabir bin al-Marhum al-Imam asy-Syeikh Muhammad Arif Sambas dalam karya itu. Dalam kalimat akhir risalah, beliau berkata: “Telah katamlah ini risalah yang kecil bicara haji dan umrah dan ziarah dengan ringkas (pendek) supaya mudah menurut sebagaimana aturan yang kebanyakan dikerjakan oleh saudara-saudara Islam sebelah tanah Jawi dari mulai ia turun dari rumah ….” Risalah haji karya ulama Sambas tersebut yang ada pada saya ialah cetakan yang kedua, dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, No. 50 Minto Road, Singapura pada 14 Syawal 1343 H bersamaan 7 Mei 1925 M.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *