Home / Sastra / Syair Tunjuk Ajar Melayu

Syair Tunjuk Ajar Melayu

oleh: Tenas Effendy

01. Wahai ananda hendaklah ingat
Hidup di dunia  amatlah singkat
Banyakkan amal serta ibadat
Supaya selamat dunia akhirat

02. Wahai ananda dengarkan peri
Tunangan hidup adalah mati
Carilah bekal ketika pagi
Supaya tidak menyesal nanti

03. Wahai ananda dengarlah madah
Baikkan laku elokkan tingkah
Banyakan  kerja yang berfaedah
Supaya hidupmu beroleh berkah

04. Wahai ananda dengarlah pesan
Kuatkan hati teguhkan iman
Jangan didengar  bisikan setan
Supaya dirimu diampuni Tuhan

05. Wahai ananda  peganglah janji
Berbuat khianat engkau jauhi
Banyakkan olehmu bertanam budi
Supaya kelak hidup terpuji

06. Wahai ananda  cahaya mata,
Janganlah tamak kepada harta
Mencari nafkah berpada-pada
Supaya hidupmu tiada bernista

07. Wahai ananda sibiran tulang
Betulkan kaji, tegakkan sembahyang
Umur yang ada jangan dibuang
Supaya  hidupmu dipandang orang

08. Wahai ananda buah hati bunda
Berpegang teguhlah pada agama
Beramallah engkau sehabis daya
Supaya  selamat dari neraka

09. Wahai ananda belahan diri
Kerja menyalah  jangan hampiri
Berbuat maksiat jangan sekali
Supaya  hidupmu diberkahi ilahi

10.  Wahai ananda  mustika hati
Pandai-pandailah  membawa diri
Hasutan orang  jangan peduli
Serahkan diri  pada ilahi

11.   Wahai ananda  intan terpilih
Jadilah engkau anak yang saleh
Berbuat baik  jangan memilih
Bergaul jangan memilih kasih

12.  Wahai ananda kekasih ibu
Dalam beralam dalamkan ilmu
Dalam beriman janganlah ragu
Ridho Allah yang engkau rindu

13.  Wahai ananda kekasih ayah
Hanya Allah yang engkau sembah
Ibu dan bapa jangan disanggah
Supaya engkau beroleh berkah

14.  Wahai ananda intan dikarang
Duduk beguru janganlah kurang
Berbuat baik janganlah kepalang
Supaya kelak hidupmu tenang

15.  Wahai ananda  tambatan hati
Jauhkan sifat iri dan dengki
Bekerjalah  dengan sesungguh hati
Itulah bekal hidup dan mati

16. Wahai ananda ratna manikam,
Berpegang teguhlah kepada Islam
banyakkan amal siang dan malam
supaya hidupmu tidak tenggelam

17. Wahai ananda kuntum pilihan,
Syarak dan sunnah jangan abaikan
Berbuat kebajikan janganlah segan
Supaya engkau dirahmati Tuhan

18. Wahai ananda kemala negeri,
Kokohkan iman di dalam diri
Tunjuk ajar engkau dengari
Bulukan setan engkau jauhi

19. Wahai ananda cahaya rumah,
Dalam ibadah janganlah lengah
Kerjakan suruh, jauhkan cegah
Supaya hidupmu beroleh berkah

20. Wahai ananda payung sekaki,
Bersihkan niat lapangkan hati
Jauhkan segala perbuatan keji
Supaya hidupmu tidak terkeji

21.  Wahai ananda cahaya gemilang,
Ilmu di dada jangan dibuang
Jauhkan segala pantang dan larang
Supaya hidupmu tidak terbuang

22. Wahai ananda tambatan jiwa,
Jauhkan olehmu sifat aniaya
Berbaik-baik sesama manusia
Supaya kelak tidak cedera

23. Wahai ananda mustika ayah,
Dalam beriman janganlah goyah
Betulkan akal luruskan langkah
Mohonlah petunjuk  kepada Allah

24. Wahai ananda mustika bunda
Janganlah cuai dalam agama
Kerjakan sembahyang tiang agama
Supaya hidupmu selamat sempurna

25. Wahai ananda mustika alam,
Kekallah engkau memeluk Islam
Bersihkan diri luar dan dalam
Banyakkan ingat siang dan malam

Check Also

Teater Mendu Pukau Ribuan Penonton

Oleh Asmirizani MABMonline.org, Pontianak – Tak seperti biasanya, Rumah Melayu dipadati manusia lebih awal, hari …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *